Tuesday, 2 August 2011

ILMU MIRATH(FARAID)..

الميراث والوصية الواجبة في الشريعة الاسلامية


Ilmu Mirath merupakan suatu ilmu yang amat penting kepada umat islam di dalam menguruskan harta pusaka peninggalan arwah keluarga. Takrif ilmu mirath dari sudut bahasa terbahagi kepada 2, iaitu yang pertama ( البقاء ) kekal, ini bermakna harta pusaka merupakan harta pemilikan kekal dan yang kedua ialah ( الانتقال ) berpindah, iaitu harta yang berpindah milik dari si mati kepada waris-warisnya yang masih hidup. Takrif ilmu mirath dari segi istilah pula boleh diringkaskan kepada suatu ilmu tentang kaedah-kaedah yang berkaitan dengan pengetahuan hak setiap pewaris dari harta peninggalan.


KEPENTINGAN ILMU MIRATH
Ilmu mirath mempunyai kepentingannya terhadap masyarakat islam. Salah satu kepentingannya ialah memperkuat dan memperkukuhkan hubungan kekeluargaan. Selain itu juga sebagai satu ketetapan di dalam menyelesaikan perbalahan manusia terhadap harta pusaka. Syariat menggalakkan agar umat islam mengetahui dan mempelajarinya.

ما روي عن أبي هريرة رضي الله عنه قال : قال رسول الله صلى الله عليه و سلم : تعلموا الفرائض و علموها الناس , فانها نصف العلم , وهو أول شيء ينسى وهو أول شيء ينزع من أمتي.
Di riwayatkan dari Abu Hurairah R.A telah bersabda Rasulullah S.A.W. : "Pelajarilah ilmu faraidh (mirath) dan ajarkanlah ia kepada manusia, sesungguhnya ia sebahagian dari ilmu, dan ia adalah ilmu yang pertama akan dilupakan oleh manusia dan ia juga perkara pertama yang akan di tarik dari umatku.

Berdasarkan hadith yang di riwayatkan oleh Abu Hurairah tadi jelas menunjukkan sesungguhnya agama islam menggalakkan umatnya untuk mempelajarinya serta mengajarkannya.


HUKUM DAN DALIL PENSYARIATAN MIRATH.

Mempelajari ilmu mirath merupakan fardhu kifayah kepada umat islam. Berdasarkan hadith lalu yang di riwayatkan oleh Abu Hurairah jelas menerangkan peri pentingnya ilmu mirath itu kepada umat islam. Ahlu fuqahak telah bersepakat di dalam menyatakan ilmu mirath telah di syariatkan, ia telah di jelaskan di dalam sumber-sumber syariat islam. Dari sumber Al-Quran, As-Sunnah, Al-Ijmak dan dalil-dalil makkul (akal).

1) Al-Quran : di dalam surah An-Nisaa' ayat 11, 12, 176.

2) As-Sunnah : di riwayatkan oleh Abu Hurairah R.A, hadith yang telah dijelaskan di atas.


1) (الفرض) Al-Fard : bermaksud bahagian atau kadar yang telah di tetapkan oleh syarak kepada pewaris seperti yang telah di tetapkan di dalam Al-Quran. Contohnya : 1/2, 1/4, 1/8, 2/3, 1/3, 1/6. Tiada tambahan kecuali pada (الرد) rod, dan tiada pengurangan kecuali pada (العول) uul.

2) (السهم) As-Saham : bermaksud bahagian yang diberi kepada setiap pewaris daripada asal masalah yang boleh di ambil darinya tanpa meninggalkan baki harta.

3) (التركة) At-Tirkah : bermaksud harta peninggalan si mati dalam bentuk duit ataupun barang-barang yang berkaitan dengan si mati.

4) (الجمع و العدد) Al-Jam'u Al-'adad : dimaksudkan di dalam ilmu mirath adalah penambahan bilangan pewaris. Contoh : 2 orang anak perempuan atau 3 atau lebih dan sebagainya.

5) (الفرع) Al-Furu' : di dalam ilmu mirath al-furu' dikenali sebagai waris-waris si mati dari anak hingga ke bawah. Contoh : anak lelaki, anak perempuan, cucu lelaki, cucu perempuan hingga ke bawah.
- (فروع الأبوين) : adik beradik lelaki atau adik beradik perempuan si mati, seibu sebapa atau sebapa sahaja atau seibu sahaja.
- (فروع الجدين) : bapa saudara si mati seibu sebapa atau sebapa sahaja, anak-anak mereka hingga ke bawah.

6) (الأصل) Al-Aslu : bermaksud waris-waris si mati dari kedua ibu bapa, datuk sebelah bapa (الأجداد الصحاح) , nenek sebelah bapa (الجدات الصحيحات) hingga ke atas.

7) (العصبة) Al-'asobah : bermaksud pewaris tertentu yang memiliki kuasa untuk mengambil atau memiliki semua bahagian harta pusaka dan mengambil baki setelah di bahagi-bahagikan harta pusaka kepada ashabul furd (أصحاب الفروض) sekiranya ada.

8) (الادلاء) Al-Idlak : bermaksud hubungan dengan si mati secara langsung seperti bapa, ibu, anak-anak si mati, ataupun secara perantaraan seperti cucu lelaki kepada anak lelaki, cucu perempuan kepada anak lelaki hingga ke bawah.

9) (الحجب) Al-Hijab : bermaksud penghalang kepada seseorang waris itu untuk mewarisi harta si mati sebahagian atau semua sekali sekiranya wujud orang yang lebih layak mewarisinya menurut syarak. Contohnya, anak lelaki akan menghijab cucu lelaki dan sebagainya.
sebab pewarisan dalam islam.
Syariat islam telah mengariskan 3 sebab seseorang itu boleh mewarisi harta. Pertamanya dengan sebab ( الزوجية ) perkahwinan, dan yang keduanya dengan sebab ( القرابة ) keturunan (ahli keluarga yang mempunyai pertalian darah) , dan yang ketiganya dengan sebab ( الولاء ) wasiat.

Sebab pewarisan dalam islam yang pertama ialah perkahwinan, perkahwinan yang dimaksudkan di sini ialah perkahwinan atau nikah yang sohih, samada mereka sudah bersetubuh ataupun belum. Sekiranya perkahwinan atau nikah yang fasid (nikah yang rosak) maka mereka tidak boleh mewarisi harta di antara satu sama lain.

1) Berlakunya perkahwinan pada akad nikah yang sohih iaitu akad nikah yang memenuhi rukun-rukun dan syarat-syarat nikah.

2) Hubungan perkahwinan itu kekal sehingga waktu kematian suami atau isteri secara hakikat atau secara hukum. Secara hakikat yang dimaksudkan di sini ialah tidak berlakunya talak ataupun fasakh di antara suami isteri sehingga matinya salah seorang dari mereka. Manakala secara hukum pula terbahagi kepada 2 keadaan :
1-Suami mentalakkan isterinya dengan talak raji'i ( طلاق الرجعي ) iaitu talak yang boleh dirujuk ketika isteri di dalam 'edah, dan pada masa yang sama matinya salah seorang dari mereka ketika dalam 'edah penceraian. Talak raji'i tidak akan memutuskan hubungan perkahwinan di antara mereka berdua selama mana si isteri di dalam 'edah, dengan sebab itu proses pewarisan akan tetap berlaku di antara mereka berdua.
2-Hal yang kedua ialah suami mentalakkan isterinya dengan talak bain ( طلاق البائن ) iaitu talak yang tidak boleh dirujuk, proses talak itu berlaku ketika suami itu sakit dan membawa kepada kematian, dan talak itu berlaku tanpa redho isteri. Talak ini di namakan talak far ( طلاق الفار ) ia bermaksud untuk mengelak si isteri dari mewarisi harta si suami. Pada pandangan mazhab hanafi si isteri masih berhak mewarisi harta selagi mana dia di dalam 'edah, jika tamat tempoh 'edah si isteri maka ia tidak boleh mewarisinya (rujuk kitab : الاختيار لتعليل المختار jilid 3 m/s 143-144). Pada pandangan mazhab syafie pula talak bain menyebabkan putusnya pertalian perkahwinan yang menyebabkan pewarisan. Pada mereka tiada bezanya talak dengan akad nikah yang sohih ataupun talak si suami ketika sakit yang menyebabkan kematian (rujuk kitab : التهذيب في فقه الشافعي للبغوي). Dan adapun matinya si isteri sebelum suami di dalam hal ke dua yang di bincangkan tadi maka suami tidak dapat mewarisi harta si isteri, hukum ini tiada khilaf di antara ulamak.

No comments:

Post a Comment